PENJAJAHAN
BRITISH DI TANAH MELAYU
1.0 PENGENALAN
Pada awalnya, Syarikat
India Timur (British East India Company) enggan campur tangan
dalam pentadbiran negeri-negeri Melayu. Hal ini kerana Syarikat
India Timur adalah sebuah badan perniagaan yang hanya
meletakkan penekanan kepada mengaut keuntungan melalui perdagangan secara aman
damai. Dengan cara ini, Syarikat
India Timur berpendapat kemakmuran dapat dikecapi bersama oleh
syarikat dan negeri-negeri Melayu. Campur tangan syarikat dalam hal ehwal
politik dan pentadbiran negeri-negeri Melayu boleh membawa kepada penglibatan
dalam operasi ketenteraan ataupun peperangan, dan akan melibatkan perbelanjaan
besar kepada Syarikat. Syarikat
melihat India dan China sebagai kawasan perdagangan yang
jauh lebih lumayan, dengan jumlah penduduk yang lebih besar dan tahap nilai
perdagangan yang jauh lebih tinggi berbanding dengan negeri-negeri Melayu.
Pembaharuan Piagam Syarikat
(Charter) oleh Parlimen Britain
dalam tahun 1834 menamatkan monopoli Syarikat
India Timur ke atas perdagangan candu dan
lain-lain barangan dengan China. Syarikat
India Timur kini terpaksa bersaing dengan lain-lain lain-lain
pedagang British dan juga pedagang-pedagang dari
negara-negara lain untuk membawa barang dagang dari Timur Jauh ke pasaran Eropah. Persaingan ini mengurangkan untung Syarikat
India Timur. Dalam tahun 1867, Negeri-Negeri Selat dipindahkan
daripada penguasaan Syarikat
India Timur kepada penguasaan Pejabat
Kolonial di London. Dengan ini, Gabenor
dan pegawai-pegawai British di Negeri-Negeri Selat bukan
lagi menjaga kepentingan Syarikat
India Timur di Calcutta tetapi menjaga kepentingan
kerajaan British, khususnya Pejabat
Kolonial di London.
Sir Andrew Clarke dihantar
ke Singapura dalam bulan November 1873 oleh
Setiausaha di Pejabat
Kolonial, Lord Kimberley (John
Wodehouse) untuk menjadi Gabenor Negeri-Negeri Selat. Sir Andrew diarahkan oleh Lord Kimberley untuk
mengkaji kemungkinan melantik penasihat-penasihat British di negeri-negeri Melayu dan
mengikhtiarkan supaya keamanan dan kemakmuran dapat dikembalikan ke
negeri-negeri Melayu.
(“see whether any steps can be taken to promote the
restoration of peace and order to secure protection to trade and commerce”
dan “whether it would be advisable to appoint a British officer to reside in
any of the states”).
|
Arahan Sir Andrew
dikukuhkan lagi apabila Benjamin Disraeli menjadi Perdana Menteri. Disraeli melihat Britain mestilah menunjukkan prestijnya
sebagai kuasa terkuat di dunia dan perlu menguatkan penjajahannya di seluruh
pelosok dunia.Disraeli berpegang
kepada prinsip beban orang putih (white man’s burden) bahawa Britain wajib membantu membawa tamadun
dan peradaban British kepada
bahagian-bahagian dunia yang lebih mundur. Disraeli juga risaukan kuasa-kuasa asing
yang lain bertapak di Tanah Melayu.
Peluang Sir Andrew
terbentang luas apabila Raja Abdullah menulis
surat meminta bantuan British untuk
menabalkan dirinya sebagai Sultan Perak.
Syarikat
India Timur dibubarkan secara rasminya pada 1 Januari 1874.
Dengan itu, semua perihal penjagaan hal ehwal dan kepentingan British berpindah
kepada tanggungjawab oleh Gabenor Negeri-Negeri Selat.
Jikalau Syarikat
India Timur sebelumnya enggan bertindak mencampuri hal
ehwal Negeri-Negeri Melayu,
kerajaan Negeri-Negeri Selat lebih
mementingkan penjagaan kepentingan British di Tanah Melayu, khususnya untuk menyekat
pengaruh kuasa barat lain seperti Perancis (bertapak dan berkembang
di Indo-China) dan Empayar Jerman (merintis
mewujudkan kehadiran di Pahang dan Langkawi).
2.0 FAKTOR-FAKTOR PENJAJAHAN BRITISH KE ATAS NEGARA INI
Pada akhir abad ke-19, British telah berusaha untuk campur tangan secara
langsung di negeri-negeri Melayu. British menggunakan pelbagai alasan untuk
campur tangan dalam pentadbiran di Tanah Melayu. Antaranya ialah pertelingkahan
takhta dalam kerajaan Melayu serta menjaga keselamatan akibat pergaduhan kongsi
gelap Cina. Setelah berjaya menguasai kerajaan-kerajaan negeri Melayu, British
telah memperkenalkan pelbagai dasar yang bertujuan untuk mengukuhkan kedudukan
mereka. Pengenalan Sistem Residen merupakan langkah yang telah digunakan oleh
British untuk menstabilkan kedudukan mereka di Tanah Melayu. Keadaan huru-hara
yang disebabkan oleh perang saudara telah berlaku di negeri-negeri Melayu
seperti di Perak, Pahang, Selangor dan Negeri Sembilan. Perkembangan tersebut
menyebabkan para pemodal Eropah mendesak Kerajaan British supaya campur tangan
untuk memulihkan keamanan supaya kegiatan perdagangan tidak terjejas.
Contohnya, Perak mengalami masalah perebutan kuasa apabila Raja Ali telah
dilantik menjadi sultan setelah kemangkatan Sultan Jaffar pada tahun 1865.
Perebutan kuasa semakin rumit selepas kemangkatan Raja Ali apabila tiga orang
putera menuntut takhta, iaitu Raja Abdullah, Raja Ismail dan Raja Yussof.
Malahan masalah di negeri-negeri Melayu yang lain telah menyebabkan Kerajaan
British di London mengarahkan Andrew Clarke supaya terlibat secara langsung
untuk menyelesaikan pertikaian raja-raja Melayu.
Di samping itu, masalah kongsi gelap Cina antara puak Hai San dengan Gee
Hin turut menyumbang ke arah perubahan dasar campur tangan British di Tanah
Melayu. Kedua-dua puak sering terlibat dalam pergaduhan yang mengakibatkan
kegiatan perlombongan bijih timah dan keselamatan terjejas teruk. Malahan
pergaduhan kongsi gelap menyebabkan kemusnahan peralatan perlombongan.
Peperangan penting yang berlaku antara kedua-dua puak adalah pada tahun 1861,
1865 dan 1872. Perang yang meletus pada tahun 1861 disebabkan tindakan Hai San
menyekat aliran anak Sungai Perak yang digunakan oleh Gee Hin untuk mengangkut
bijih timah. Peperangan tersebut mengganggu kedudukan perdagangan British.
British melalui Kapten Speedy telah mendamaikan kedua-dua puak dengan
mengiktiraf Hai San sebagai pengusaha lombong bijih timah di Larut pada tahun
1873. British ingin menguasai sumber mineral yang bernilai yang terdapat di
Tanah Melayu untuk pasaran antarabangsa.
Selepas meletusnya Revolusi Perindustrian di Eropah, keperluan terhadap
bahan mentah begitu tinggi untuk menampung pengeluaran yang semakin meningkat.
Britain amat memerlukan bahan mentah, terutama bijih timah dan getah. Oleh yang
demikian, British di Tanah Melayu telah menguasai sumber-sumber bahan mentah
tersebut. Tanah Melayu yang kaya dengan bahan mineral tersebut dieksploitasi
oleh British. British menyedari sekiranya Tanah Melayu tidak dikuasai dan jatuh
ke tangan pihak Barat lain, mereka akan rugi. Selain itu, terdapat desakan
daripada para pedagang British yang menginginkan supaya monopoli terhadap
perdagangan bijih timah di Tanah Melayu dikuasai oleh British. British telah
berjaya meningkatkan pengeluaran bijih timah di Tanah Melayu untuk memenuhi
keperluan perindustrian mengetin makanan.
Campur tangan British secara langsung di Tanah Melayu didorong oleh
perubahan terhadap politik antarabangsa, iaitu persaingan antara negara Barat
untuk meluaskan wilayah. Oleh yang demikian, British bimbang dengan usaha-usaha
pihak Eropah yang lain untuk menguasai Tanah Melayu. Pada ketika itu,
kuasa-kuasa Eropah yang lain sedang giat mencari kedudukan di Asia Tenggara,
contohnya Belanda di Indonesia, Perancis di Indo-China dan Sepanyol di
Filipina. Tambahan pula, Jerman sedang berusaha untuk mencari pengaruhnya di
Tanah Melayu sekitar tahun 1871. Keadaan ini telah menguatkan desakan para
saudagar British supaya mendesak Kerajaan Britain campur tangan di Tanah
Melayu.
Perubahan politik di Britain telah mempengaruhi dasar mereka berkaitan
dengan tanah jajahan. Pada tahun 1874, Parti Konservatif telah berjaya
menguasai parlimen England menyebabkan berlaku perubahan terhadap dasar
luarnya. Dasar pentadbiran di Tanah Melayu turut mengalami
perubahan. Andrew Clarke telah didesak supaya menjalankan dasar agresif
terhadap penguasaan Tanah Melayu. Oleh yang demikian, British telah
memperkenalkan pelbagai cara untuk mengukuhkan kedudukan di Tanah Melayu
seperti Sistem Residen.
Di samping itu, pihak British telah membangunkan pelbagai infrastruktur
pengangkutan untuk memudahkan perhubungan mereka. Perdagangan antara timur
dengan barat semakin cepat dan singkat, contohnya pembukaan Terusan Suez mampu
memendekkan jarak perjalanan. Selain itu, penciptaan kapal wap
turut menyumbang kepada penguasaan British terhadap Tanah Melayu. Barang
dagangan dari Tanah Melayu akan mudah diangkut ke negara asal. Dengan ini,
mereka seharusnya menguasai Tanah Melayu sepenuhnya melalui dasar campur tangan
secara langsung. Pihak British yang berada di Tanah Melayu mengubah dasar tidak
campur tangan kepada dasar campur tangan secara langsung yang turut didorong
oleh pelbagai sekatan oleh negeri-negeri Melayu. Misalnya, para saudagar
British tidak dibenarkan memonopoli perdagangan bijih timah. Cukai yang
dikenakan terhadap saudagar British terlalu tinggi.
Kesimpulannya, pihak Inggeris datang ke Tanah Melayu untuk menjalankan
urusan perdagangan. Oleh sebab Tanah Melayu adalah laluan perdagangan yang baik
dan strategik serta mempunyai potensi ekonomi untuk berkembang, maka pihak
Inggeris telah memutuskan untuk menduduki dan menguasainya. Apa yang jelas
proses imperialisme British telah mendorong penglibatan Inggeris secara
langsung di Negeri-negeri Melayu. Campur tangan British secara langsung di
negeri-negeri Melayu telah mengakibatkan sistem politik dan ekonomi tempatan mengalami
perubahan yang ketara. Malahan pihak British telah berjaya menguasai ekonomi
tempatan. Apabila British mula campur tangan di Tanah Melayu maka bermulalah
era penjajahan British ke atas Tanah Melayu.
3.0 KESAN-KESAN PENJAJAHAN BRITISH KEPADA NEGARA INI.
Kuasa Inggeris mempunyai tanah jajahan yang terbesar di dunia. Tanah Melayu
merupakan salah sebuah negara bekas jajahan Inggeris. Demi kepentingan ekonomi,
pihak Inggeris akhirnya campur tangan di Tanah Melayu. Penjajahan Inggeris di
Tanah Melayu didorong oleh banyak faktor sama ada faktor dalaman atau faktor
luaran. Walau apapun faktor yang mendorong penjajahan Inggeris di Tanah Melayu,
penjajahan ini sememangnya memberi kesan yang sangat mendalam ke atas Tanah
Melayu sama ada dari aspek politik, ekonomi, mahupun sosial masyarakat di Tanah
Melayu sehinggalah sekarang.
3.1 POLITIK
Kesan yang paling ketara akibat penguasaan Inggeris di Tanah Melayu ialah
dari segi politik. Sebelum campur tangan Inggeris di Tanah Melayu, sultan
berkuasa mutlak untuk memerintah dan menguruskan hal-hal pentadbiran negara dan
para pembesar berkuasa untuk memungut cukai daripada rakyat. Tetapi
setelah kedatangan Inggeris di Tanah Melayu, kuasa-kuasa raja dan sultan telah
terjejas. Kuasa raja menjadi terhad dan raja hanya boleh menyentuh hal-hal
mengenai adat istiadat Melayu dan hal-hal keagamaan sahaja. Hal ini adalah
ekoran daripada sistem corak pentadbiran baru yang telah diperkenalkan oleh
pihak Inggeris iaitu Sistem Residen. Sistem Residen ini telah diperkenalkan
oleh Inggeris di Perak pada tahun 1874 berikutan dengan
Perjanjian Pangkor. Sistem ini kemudiannya diperkenalkan
pula di Selangor pada tahun 1875, di Pahang 1888 dan Negeri Sembilan
1889. Sistem Residen ini adalah satu bentuk pentadbiran Inggeris yang
dinamakan sebagai sistem pemerintahan tidak langsung di negeri-negeri Melayu.
Oleh yang demikian, Sultan terpaksa menerima seorang residen Inggeris yang
dilantik bagi setiap negeri untuk menasihatinya dalam semua urusan pentabiran
kecuali perkara-perkara yang berkaitan dengan adat istiadat dan hukum hakam
agama Islam. Kuasa pentadbiran negeri sebenarnya terletak di tangan
residen Inggeris tetapi mereka bertindak di atas nama sultan-sultan
Melayu. Hal ini kerana, nasihat-nasihat yang diberikan oleh residen Inggeris
hendaklah diterima oleh sultan-sultan Melayu contohnya sistem residen yang
diperkenalkan di Selangor iaitu ia adalah disebabkan oleh kegiatan
lanun dan rompakan yang sering berlaku disepanjang pantai negeri
Selangor. Pada masa tersebut Sir Andrew Clarke iaitu Gabenor
Negeri-negeri Selat telah mengambil kesempatan untuk campur tangan dalam hal
pentadbiran di Selangor berikutan satu rompakan di Kuala Labu iaitu kira-kira
30 batu dari Langat.
Akibat peristiwa yang berlaku itu, Clarke telah pergi ke Selangor
pada bulan Ogos 1874 dan mengadakan rundingan bersama Sultan Abdul
Samad. Menerusi rundingan itu, Clarke telah meninggalkan seorang
pegawainya iaitu Frank Swettenham bersama 20 orang sepoi untuk menjaga
Sultan. Kebolehan yang dimiliki oleh Swettenham telah menarik perhatian
Sultan dan menyuruh Clarke melantiknya menjadi penasihat Sultan serta Sultan
turut menawarkan supaya negeri Selangor diletakkan dibawah naungan
British. Pada Disember 1874, Clarke telah memberi cadangan untuk melantik
Swettenham sebagai Residen Selangor tetapi cadangan itu tidak dipersetujui dan
kemudiannya Gabenor telah melantik J.G Dawidson sebagai Residen British pertama
di Selangor.
3.2 EKONOMI
Kesan yang kedua ialah kesan terhadap ekonomi. Perluasan kuasa Inggeris
telah menyebabkan berlakunya perubahan sistem ekonomi di Tanah
Melayu. Sebelum campur tangan Inggeris, masyarakat Melayu mengamalkan
sistem ekonomi sara diri dan apabila berlakunya perluasan kuasa
Inggeris, sistem ekonomi komersil pula diperkenalkan. Sistem ekonomi komersial
merujuk kepada lebihan hasil secara besar-besaran dan melibatkan banyak pihak
yang memerlukan barang ekonomi yang berbeza antara
satu sama lain. Sistem ekonomi ini bermula pada abad ke-19 dan
20 terutamanya selepas kemasukan Inggeris. Hal ini kerana Inggeris lebih
menumpukan kegiatan ekonomi yang berorientasikan eksport seterusnya mendorong
pelabur-pelabur asing ke Tanah Melayu dan membawa teknologi serta sistem
pengurusan ekonomi. Penggunaan kapal korek dan pam kelikir telah digunakan
bagi menggantikan teknik lama iaitu mendulang yang agak merugikan. Melalui
teknologi baru yang dibawa oleh Inggeris menjadikan hasil pengeluaran bijih
timah yang diperolehi lebih banyak dan cepat serta tidak perlu menggunakan
tenaga buruh yang ramai. Pembinaan jalan raya yang merentasi daerah
pedalaman telah mewujudkan kawasan baru serta mewujudkan pembukaan
bandar-bandar baru. Perusahaan getah diperkenalkan bagi menggantikan
kopi. Teknik penorehan getah yang menggunakan teknologi yang lebih moden dan
canggih telah membawa kepesatan kepada pengeluaran hasil
getah. Perkembangan ekonomi diseimbangkan oleh kewujudan system
pengangkutan darat.
Perubahan sistem ekonomi di Tanah Melayu berlaku daripada 3 aspek iaitu
politik, ekonomi dan sosial. Dari aspek politik, Sultan dan pembesar tidak
mempunyai kuasa ke atas tanah jajahan dan juga adat Melayu. Hal ini kerana
Inggeris telah menghapuskan beberapa amalan dalam adat Melayu. Contohnya
seperti menghapuskan sistem kerah dan serah oleh para pembesar. Sistem hamba
abdi juga dihapuskan dan rakyat boleh memiliki tanah bagi menjalankan serta
meningkatkan hasil pertanian tanpa menyerahkan sebahagian hasil mereka kepada
Sultan atau pembesar.
Dalam sistem ekonomi komersil juga , Inggeris telah menghapuskan
amalan pungutan cukai yang dilakukan oleh Sultan dan pembesar. Ianya
terbukti apabila penyusunan sistem kutipan cukai dilakukan oleh J.W.W Birch di
mana pembesar dilarang untuk memungut cukai dan segala sistem pungutan cukai
perlu dipusatkan di bawah kelolaannya. Tindakan J.W.W Birch telah
menyebabkan pembesar kehilangan kuasa dan pendapatan yang mereka perolehi
daripada hasil cukai yang dipungut terjejas dan ini telah bercanggah dengan
nilai-nilai tradisi dan adat istiadat Melayu. Pada pertengahan April 1874,
Birch telah membuat lawatan ke Bidor dan Birch telah membakar rumah Raja Ngah
dan Tengku Panglima Besar yang merupakan sepupu Sultan Ismail kerana didapati
telah mengutip cukai daripada pelombong di situ.
3.3 SOSIAL
Selain itu, kesan sosial campur tangan British di Tanah Melayu ialah
kemasukan orang Cina dan orang India secara beramai-ramai ke Tanah Melayu.
Kemasukan orang Cina dan orang India telah menimbulkan pelbagai masalah di
Tanah Melayu. Antara masalah yang timbul ialah masalah jenayah yang berleluasa,
khasnya di negeri-negeri kawasan lombong bijih timah seperti di Perak, Selangor
dan Negeri Sembilan. Kumpulan orang Cina yang berbeza telah mewujudkan kongsi
gelap untuk menjaga kepentingan masing-masing. Kumpulan kongsi gelap Cina
sering bermusuhan untuk mengukuhkan kedudukan dan mempertahankan kawasan
lombong bijih timah mereka. Antara kumpulan kongsi gelap ialah Hai San dan Ghee
Hin.
Selain itu, kesan sosial kemasukan orang Cina dan orang India ialah
aktiviti pelacuran yang berlaku dalam kalangan masyarakat. Terdapat aktiviti
membawa wanita-wanita Cina dari negara China untuk dijadikan pelacur. Walaupun
aktiviti tersebut hanya melibatkan orang Cina, tetapi sering menimbulkan
keadaan tidak tenteram kerana berlaku pergaduhan. Hal ini telah menyebabkan
kemantapan politik terganggu. British telah mengambil tindakan untuk mengatasi
masalah pelacuran dan pergaduhan tersebut. Kesan ekonomi kemasukan orang Cina
dan India ialah perekonomian semakin meningkat, khususnya dalam bidang
perlombongan bijih timah dan perladangan getah. Orang Cina dibawa ke Tanah
Melayu sebagai buruh di lombong bijih timah kerana kemahiran dalam aktiviti
tersebut. Manakala orang India merupakan buruh yang mahir dalam perladangan
getah. Selain itu, aktiviti perniagaan turut berkembang dengan pesat.
Contohnya, orang Teochew dan Hakka merupakan peniaga yang telah membuka banyak
kedai di kawasan bandar dan lombong bijih timah. Hal ini telah meningkatkan
ekonomi di Tanah Melayu.
Kesan sosial seterusnya ialah pembentukan bandar-bandar baru. Orang Cina
dan orang India membuat petempatan berkelompok di kawasan lombong dan ladang
getah seperti di Ipoh, Kinta, Taiping, Kuala Lumpur, Seremban dan Johor Bahru.
Seiring dengan kewujudan bandar-bandar baru tersebut, kerajaan British telah
membina jaringan jalan perhubungan dan pengangkutan seperti jalan kereta api
dan jalan raya. Sistem jalan pengangkutan tersebut menghubungkan antara ladang
getah dan lombong bijih timah dengan kilang mahupun pelabuhan.
Di samping itu, kesan ekonomi kemasukan orang Cina dan India ialah
meningkatkan kemajuan Tanah Melayu secara keseluruhannya. Orang Cina dan orang
India banyak menetap di kawasan pantai barat Tanah Melayu. Malahan orang Cina
dan India lebih banyak menetap di Pulau Pinang dan Singapura. Hal ini telah
menyebabkan kedua-dua buah negeri tersebut berkembang dengan pesat. Contohnya,
Singapura telah berkembang sebagai sebuah pelabuhan entrepot.
3.4 KEWUJUDAN MASYARAKAT MAJMUK
Selain itu, perluasan Inggeris juga telah menyebabkan berlakunya kewujudan
masyarakat majmuk atau masyarakat berbilang kaum . Terdapat 3 kaum
utama di Tanah Melayu iaitu Bumiputera atau Melayu, Cina dan India.
Kewujudan masyarakat majmuk dapat dibahagikan kepada aspek politik,
ekonomi dan sosial. Dari aspek politik masyarakat majmuk dikuasai
oleh suatu kelompok minoriti yang mempunyai kebudayaan
tersendiri. Kewujudan masyarakat majmuk ini adalah disebabkan oleh dasar
terbuka Inggeris terhadap kemasukan buruh asing bagi memenuhi kepentingan mereka. Dari
aspek ekonomi, kewujudan masyarakat majmuk adalah bagi memenuhi tenaga buruh
yang diperlukan oleh pihak British dalam ekonomi perlombongan dan perladangan
iaitu buruh Cina ditempatkan di kawasan perlombongan manakala buruh-buruh India
pula bekerja di estet-estet atau di ladang-ladang. Dalai aspek sosial pula,
kewujudan masyarakat majmuk adalah bagi meraih keuntungan ekonomi pihak
Inggeris iaitu apabila semakin ramai buruh-buruh asing datang ke Tanah Melayu,
pengeluaran ekonomi Tanah Melayu akan bertambah dan ini meningkatkan keuntungan
para penjajah yang sememangnya ingin meraih keuntungan di Tanah Melayu.
Masyarakat majmuk ini wujud akibat daripada kemasukan imigran pada
pertengahan abad ke-19 dan telah melahirkan satu masyarakat majmuk, organisasi
sosial dan budaya yang berbeza. Kewujudan masyarakat majmuk juga berlaku
ketika perusahaan bijih timah di Tanah Melayu berkembang pesat dan telah
menyebabkan Inggeris membawa masuk buruh-buruh Cina dan India bagi
menambah tenaga buruh di lombong. Buruh India juga digunakan
dalam perusahaan getah serta projek-projek pembangunan seperti jalan raya dan
keretapi.
Kewujudan masyarakat majmuk telah menyebabkan kehidupan masyarakat
menjadi pelbagai. Hal ini berlaku kerana mereka hidup secara individualistik
serta hidup dengan cara kehidupan yang berbeza-beza samada dari segi
agama, kepercayaan, kebudayaan, adat, bahasa, kegiatan ekonomi dan
petempatan. Ia juga berlaku akibat daripada dasar yang diperkenalkan
oleh Inggeris iaitu dasar ‘Pecah’ dan ‘Perintah’ yang bermaksud pengasingan
masyarakat yang terdapat di Tanah Melayu. Hal ini dapat dilihat daripada
orang Melayu yang hidup di kawasan luar bandar seperti kampung dan
desa. Mereka juga masih mengamalkan sistem ekonomi sara diri
seperti nelayan, kegiatan pertanian secara kecil-kecilan dan pegawai-pegawai
rendah. Manakala orang Cina tertumpu di kawasan bandar dan menjalankan
kegiatan perdagangan dan perlombongan. Orang India pula tinggal
di kawasan-kawasan estet dan ladang getah bagi menjalankan kegiatan perladangan.
Sebelum tahun 1800, penduduk di negara kita hanya terdiri daripada penduduk
tempatan. Walau bagaimanapun, pada akhir abad ke-19 berlaku kemasukan orang
Cina dan India secara beramai-ramai ke negara kita. Kemasukan orang Cina dan
India disebabkan oleh banyaknya peluang ekonomi yang terdapat di Tanah Melayu.
Mereka mencari kehidupan yang lebih selesa di Tanah Melayu kerana keperitan
hidup di negara asal mereka. Malahan British telah membawa masuk orang Cina dan
India ke Tanah Melayu sebagai tenaga kerja di sektor perlombongan dan
perladangan. Kehidupan yang selesa di Tanah Melayu menyebabkan golongan ini
telah menetap secara terus. Situasi ini memberikan kesan terhadap kehidupan
sosio-ekonomi di Tanah Melayu.
Kesan sosial kemasukan orang Cina dan orang India pada akhir abad ke-19 dan
awal abad ke-20 ialah pertambahan bilangan penduduk Tanah Melayu yang begitu
pesat. Pada tahun 1870, bilangan penduduk Tanah Melayu kira-kira 500 000 orang.
Setelah kedatangan orang Cina dan orang India ke Tanah Melayu, jumlah penduduk
bertambah menjadi 3 300 000 orang pada tahun 1921. Pada tahun 1931, jumlah
penduduk bukan Melayu lebih ramai berbanding dengan masyarakat tempatan di
Tanah Melayu. Situasi tersebut telah melahirkan situasi masyarakat majmuk di
negara kita. Kehidupan mereka bercorak berasingan dan mengamalkan kebudayaan
masing-masing. Orang Cina yang datang ke Tanah Melayu terdiri daripada pelbagai
kelompok. Mereka berbeza dari segi dialek, adat dan pengkhususan ekonomi.
Malahan terdapat permusuhan antara mereka. Orang India pula tinggal di kawasan
ladang-ladang getah. Sedangkan penduduk tempatan, iaitu orang Melayu tinggal di
kawasan kampung luar bandar dan pesisir pantai.
3.5 PENDIDIKAN
Perubahan sosial yang dibuat oleh Inggeris ialah perubahan dalam sistem
pendidikan. Sebelum kedatangan Inggeris ke Tanah Melayu, pendidikan di
Tanah Melayu bersifat tidak formal iaitu hanya terhad kepada pengajian Al-Quran
dan keagamaan. Namun selepas kedatangan Inggeris, terutamanya pada
pertengahan abad ke-19 , sistem pendidikan di Tanah Melayu telah banyak berlaku
perubahan dan ianya lebih bersifat perkauman atau vernakular kerana Inggeris
tidak menyeragamkan sukatan pendidikan dengan pendidikan guru dan ini membawa
kepada perbezaan sukatan pelajaran antara kaum. Masyarakat Melayu tidak
mendapat pendidikan akademik yang sempurna seperti mana kaum-kaum lain dan
mereka hanya mendapat ilmu kemahiran sahaja.
Terdapat 4 jenis sekolah di Tanah Melayu iaitu sekolah Melayu,
sekolah Cina, sekolah Tamil dan sekolah Inggeris. Di sekolah Melayu
, terdapat 2 bentuk persekolahan iaitu sekolah berbentuk keagamaan dan
sekular. Sekolah berbentuk keagamaan telah lama wujud sebelum kedatangan
Inggeris. Sekolah ini mengajar tentang hal keagamaan dan mengaji. Sekolah
ini juga kurang mendapat tumpuan daripada pihak Inggeris kerana pihak Inggeris
mahu mengekalkan kestabilan dan memastikan kaum Melayu terus tinggal di kampung
sebagai petani. Manakala sekolah Melayu yang bersifat sekular pula
diperkenalkan oleh Inggeris melalui mubaligh Kristian. Sekolah ini kurang
mendapat sambutan daripada orang Melayu kerana mereka takut terpengaruh dengan
agama Kristian oleh mubaligh.
Di samping itu, kesan kemasukan orang Cina dan orang India ialah kewujudan
sistem persekolahan yang tidak seragam dan menyulitkan pemerintahan British
menguruskan persekolahan di Tanah Melayu. Sistem pendidikan vernakular telah
berkembang dengan pesat. Orang Cina dan orang India membuka sekolah
masing-masing. Mereka menggunakan sistem pendidikan yang dibawa dari negara asal
mereka. Situasi ini mewujudkan jurang antara kaum kerana semangat perpaduan
melalui pendidikan tidak wujud sama sekali.
Sistem pendidikan pada zaman sebelum Perang Dunia Kedua berkembang mengikut
haluan masing-masing. Sekolah-sekolah dibina mengikut kepentingan setiap kaum.
Hal ini turut mempengaruhi keseimbangan peluang dalam kalangan kanak-kanak
untuk mendapatkan pendidikan. Sekolah vernakular India, Cina, Melayu
dan Inggeris berkembang tanpa adanya keseragaman. Keadaan ini telah menyebabkan
wujud perbezaan ras yang amat ketara sehingga menghalang perpaduan kaum di
Tanah Melayu. Justeru, selepas Tanah Melayu merdeka, sistem pendidikan untuk
membentuk perpaduan kaum telah diwujudkan. Sistem pendidikan tersebut
memberikan peluang kepada kanak-kanak daripada semua kaum untuk menikmati
pendidikan.
Kerajaan colonial British juga membuka sekolah-sekolah untuk melatih
anak-anak tempatan bagi pengisian jawatan-jawatan perkeranian di dalam sektor
awam dan swasta. Sekolah-sekolah seperti Sekolah King Edward
VII Taiping dibuka untuk memberikan pendidikan untuk
membolehkan rakyat tempatan memegang jawatan-jawatan rendah di dalam
perkhidmatan kerajaan dan swasta, tetapi tidak mementingkan pelajaran di
peringkat tertinggi. Maktab Melayu
Kuala Kangsar dibuka untuk membolehkan anak-anak bangsawan
Melayu mendapat latihan untuk memegang jawatan-jawatan peringkat pertengahan
dalam perkhidmatan kerajaan kolonial British.
Kesimpulannya ialah sistem pendidikan yang diperkenalkan sebaik-baik sahaja
Tanah Melayu mencapai kemerdekaan sehingga 1961 bertujuan untuk mewujudkan
perpaduan kaum. Dalam usaha membentuk sistem pendidikan kebangsaan, pandangan
daripada semua kaum diambil kira melalui rundingan antara kaum. Melalui sistem
pendidikan telah memberikan peluang kepada semua kaum untuk mendapatkan
pendidikan yang seimbang. Malahan kerajaan telah memberikan bantuan kewangan
kepada semua sekolah. Penyelarasan sistem pendidikan Tanah Melayu telah
membantu mewujudkan perpaduan kaum. Hal ini jelas terbukti dengan pengajaran Bahasa
Melayu di semua sekolah, selain penyeragaman kurikulum dan peperiksaan. Laporan
Razak dan Akta Rahman Talib telah menjadi asas pembentukan sistem pendidikan
kebangsaan selepas pembentukan Malaysia pada tahun 1963.
3.6 PENGENALAN DASAR INGGERIS
Dasar yang telah dijalankan oleh pihak Inggeris terhadap Tanah Melayu dapat
dibahagikan kepada 3 iaitu dari segi politik, ekonomi dan sosial. Dasar
politik di tanah melayu adalah mengenai dasar imigrasi, Jabatan
Perlindungan Orang Asing dan Undang-undang buruh. Dasar imigrasi ialah
berbentuk bebas iaitu tidak mempunyai sekatan terhadap kemasukan orang asing
melalui sistem-sistem kemasukan seperti indenture, kangany, kontrak
dan bebas. Pada tahun 1930, Inggeris telah memperketatkan dasar imigrasi
dengan bertindak menghantar pulang orang-orang imigran ke negara asal
mereka. Undang-undang imigrasi pada tahun 1930 juga telah menghalang
kemasukan orang asing ke Tanah Melayu. Sebelum tahun 1930 orang Inggeris
telah mendapatkan tenaga buruh tanpa sekatan kerana pada masa tersebut tenaga
buruh penting bagi pembangunan ekonomi perlombongan dan perladangan selain
melaksanakan pembinaan prasarana baru seperti pembinaan jalan keretapi dan
jalan raya. Jabatan perlindungan Orang Asing telah ditubuhkan bagi
melindungi para buruh imigran daripada ditindas oleh para kongsi gelap atau
majikan. Kewujudan jabatan perlindungan orang asing ini bermakna buruh-buruh
dilindungi pemerintah Inggeris dan menunjukkan bahawa kerajaan Inggeris
menggalakan kemasukan buruh asing di Tanah Melayu.
Pihak inggeris juga telah melaksanakan dasar ekonomi di Tanah Melayu iaitu
dasar ekonomi komersial, kapitalisme dan bebas. Dasar ekonomi komersial
telah membawa perubahan kepada sistem sara diri yang telah dijalankan
secara tradisi oleh masyarakat Melayu. Ia juga telah membawa kesan
terhadap pembukaan tanah dan ladang serta meningkatkan pengeluaran perlombongan
bijih timah. Dasar ekonomi yang dijalankan oleh pihak Inggeris juga telah
mewujudkan sistem ekonomi moden yang berasaskan tenaga buruh.
Dasar sosial yang telah dijalankan oleh Inggeris lebih tertumpu kepada
dasar pendidikan pemerintahan Inggeris. Dasar ini merupakan tunggak utama
yang menyebabkan wujudnya masyarakat Melayu. Dasar ini tidak membawa
kepada perpaduan kaum bahkan dasar tersebut telah mewujudkan jurang antara kaum
kerana Inggeris tidak menyeragamkan sukatan pendidikan dan pendidikan
guru. Hal ini bermaksud sukatan pendidikan antara sekolah-sekolah Melayu,
Cina dan India adalah berbeza dan bagi masyarakat Cina
dan India , guru diambil dari negara asal. Pada masa tersebut
orang-orang Melayu tidak mendapat kemahiran dan pendidikan yang tinggi tetapi
orang-orang Melayu hanya mendapat kemahiran bagi membuat kerja-kerja sara diri
sahaja. Dasar yang telah dijalankan oleh orang inggeris ini sebenarnya
telah menggalakkan kemasukan orang asing di Tanah Melayu. Tujuan Inggeris
menggalakkan kemasukan orang asing di Tanah Melayu adalah bagi menjaga
kebajikan mereka dan bagi meraih keuntungan ekonomi di Tanah Melayu.
Dasar Inggeris terhadap Tanah Melayu dapat dilihat daripada
beberapa tindakan pemerintah Inggeris terhadap kedatangan orang-orang asing ke
Tanah Melayu. Dalam hal ini ia dapat menentukan persoalan bagaimana Inggeris
membantu mewujudkan masyarakat Malaysia yang majmuk. Keadaan ini bukan sahaja
memberi kesan terhadap kemajmukan ras, tetapi merangkumi pelbagai aspek dalam
politik dan sosial. Perbincangan mengenai tajuk ini dapat difahami jika kita
melihat beberapa dasar Inggeris seperti huraian berikut:
DASAR POLITIK
|
· Perbincangan ini
berkisar pada aspek dasar imigrasi ¸ Jabatan Perlindungan Orang
Asing,dan undang-undang buruh.
· Sejak tahun 1874
dasar imigrasi Inggeris berbentuk bebas iaitu tidak mempunyai sekatan
terhadap kemasukan orang asing. Dalam hal ini Inggeris seolah-olah
menggalakkan kemasukan orang asing melalui sistem-sistem kemasukan seperti
indenture, kangany, kontrak, dan bebas. Hal ini berbeza dengan tindakan
Inggeris pada 1930an, dengan Inggeris memperketatkan dan menguatkuasa dasar
imigrasi dengan bertindak menghantar pulang orang-orang imigran balik ke
negara asal mereka. Selain itu, undang-undang imigrasi pada tahun 1930an juga
menghalang kemasukan baru orang asing ke Tanah Melayu. Seperkara yang menarik
tiadanya sekatan terhadap kemasukan orang asing ke negara ini sebelum
undang-undang imigrasi 1930an disebabkan oleh keperluan Inggeris
untuk mendapatkan tenaga buruh bagi menrancakkan ekonomi perlombongan dan
peladangan selain buruh bagi melaksanakan pembinaan prasarana baru seperti
pembinaan jalan keretapi dan jalan raya.
· Keadaan ini
diperkukuhkan lagi dengan kewujudan jabatan Perlindungan Orang Asing bagi
melindungi para buruh imigran daripada tindasan dan penganiayaan para kongsi
gelap mahupun majikan. Dengan wujudnya jabatan ini, ini bermakna buruh-buruh
ini dilindungi oleh pemerintah Inggeris dan ia menunjukkan bahawa seolah-olah
kerajaan Inggeris menggalakkan kemasukan buruh asing. Ini juga menjelaskan
bahawa terdapat tindakan dan dasar kerajaan Inggeris mempastikan mereka tidak
kehilangan buruh bagi menjana ekonomi Tanah Melayu . Hal ini diperkukuhkan
lagi dengan kewujudan undang-undang buruh yang memerlukan
para majikan untuk memberikan kemudahan yang sepatutnya
kepada buruh imigran ini. Dengan keadaan ini ia bukan sahaja menggalakkan
kemasukan buruh asing, tetapi menggalakkan mereka untuk tidak pulang ke
negara asal mereka. Hal ini terbukti semasa kemelesetan ekonomi 1927-1932
orang-orang asing ini keberatan untuk pulang ke negara asal mereka dan ini
menjadi masalah kepada pemerintah Ingeris.
· Oleh itu, merujuk
dasar-dasar pemerintahan Inggeris ini membuktikan bahawa kewujudan masyarakat
majmuk di negara ini adalah hasil pelaksanaan dasar yang berkehendakkan buruh
imigran bagi menjana ekonomi dan membolehkan penjajah mendapat keuntungan
ekonomi dengan tidak mengambil kira permasalahan yang dihadapi oleh
masyarakat pribumi.
|
DASAR EKONOMI
|
· Dasar ekonomi
komersial – kapitalisme dan bebas. Perubahan sistem daripada sara diri kepada
sistem komersial. Pembukaan tanah dan ladang serta peningkatan pelombongan
bijih timah.
· Wujudnya sistem
ekonomi moden berteraskan industri berasaskan buruh.
· Keperluan
pemodenan prasara baru yang memerlukan tenaga buruh.
|
DASAR SOSIAL.
|
· Penekanan aspek
ini lebih dijuruskan kepada Dasar pendidikan pemerintahan Inggeris.
Melalui dasar ini dapat dijelaskan lagi bagaimana wujudnya masyarakat majmuk
di Malaysia. Melalui dasar pendidikan yang berteraskan negara ibunda,
Inggeris menggalakkan lagi perbezaan kaum dan ia juga melebarkan lagi jurang
perpaduan di Malaysia. Hal ini dapat dilihat melalui tindakan Inggeris yang
tidak menseragamkan sukatan pendidikan dan pendidikan guru. Sebagai kesan
daripada keadaan ini wujud sukatan pendidikan yang berbeza serta keperluan
guru berasaskan tindakan komuniti setiap kaum di Malaysia. Sebagai contohnya
setiap kaum mengambil inisiaif dengan mengikut sukatan pendidikan serta
mengambil para guru dari negara asal mereka. Keadaan ini
menjelaskan bahawa Inggeris tidak mempunyai agenda bagi menghalang
ketidakseragaman dalam dasar pendidikan mereka. Bagi orang-orang melayu ia
hanya mendapat pendidikan kemahiran bagi mengerjakan kerja-kerja sara diri
sahaja dan tidak memberi peluang untuk mendapatkan kemahiran dan ilmu
akedemik. Walaupun wujud keadaan ini ia dikhaskan kepada anak-anak para
bangsawan Melayu sahaja.
· Dalam hal ini,
keadaan dasar ini sebenarnya menggalakkan lagi kemasukan orang asing kerana
mereka tahu bahawa mereka masih lagi memperoleh pendidikan walaupun di negara
asing. Ini juga menjelaskan lagi bahawa Inggeris sebenarnya menggalakkan
kemasukan mereka dan menjaga kebajikan mereka bagi keuntungan ekonomi
penjajah.
|
3.7 PENENTANGAN MASYARAKAT MELAYU
Kedatangan Inggeris ke Tanah Melayu telah menyebabkan berlakunya campur
tangan dalam hal–ehwal dan pentadbiran di negeri-negeri tersebut. Dengan berlakunya
campur tangan Inggeris, telah banyak menimbulkan ketidakpuasan hati
orang-orang Melayu terhadap struktur pentadbiran dan pelaksanaan hal-ehwal di
Tanah Melayu. Oleh yang demikian, berlaku penentangan di Tanah Melayu
untuk menentang Inggeris daripada terus berleluasa dan mengukuhkan
kuasanya. Terdapat pelbagai penentangan yang telah dilakukan oleh
masyarakat Melayu yang melibatkan perbuatan dan pemikiran masyarakat Melayu
setempat.
Penentangan pertama yang dilakukan ialah dengan melakukan pembunuhan
pegawai Inggeris iaitu J.W.W Birch dalam peristiwa Pasir Salak di Perak hasil
muafakat daripada beberapa pihak. Tindakan melampaui batas Birch yang
berlawanan dengan sistem pemerintahan tradisional dan melanggar adat-istiadat
orang Melayu telah menimbulkan kemarahan dalam kalangan pembesar dan pengikut
mereka. Sultan Abdullah mengarahkan Dato’ Maharaja Lela membunuh Birch dan
cadangan tersebut disokong oleh Raja Ismail. Sultan Abdullah dan Raja
Ismail telah menghantar senjata-senjata dan keris rasmi pembunuhan
kepada Dato’ Maharaja Lela dan memerintah orang-orang kampung bersatu dalam
perjuangan mereka sebagai menunjukkan penentangan orang Melayu terhadap
Inggeris. Pembunuhan itu dipertanggungjawabkan kepada Dato’ Maharaja Lela yang
telah mengambil keputusan nekad untuk membunuh Birch walaupun pembunuhan
tersebut dilakukan oleh pembunuh upahan iaitu Pandak Indut dan Seputum.
Peristiwa pembunuhan ini menjelaskan kepada kita betapa marah dan kecewanya
orang melayu di Perak kepada pihak Inggeris sehingga sanggup melakukan
pembunuhan.
Pembunuhan Birch telah menyebabkan semangat nasionalisme kepada
masyarakat Melayu. Orang-orang Melayu juga telah bertindak balas terhadap
campur tangan Inggeris dengan mengangkat senjata. Perkara seperti ini bukan
sahaja berlaku di kawasan Perak tetapi di negeri lain apabilanya adanya
kebangkitan penentang-penentang Inggeris yang lain seperti Mat Kilau dan Dato’
Bahaman di Pahang ,Tok Janggut di Kelantan dan Hj Abdul Rahman
Limbong di Terengganu.
Penentangan kedua ialah dengan menjalankan kempen menggesa orang ramai
supaya tidak membayar cukai dan mematuhi peraturan baru yang diperkenalkan oleh
pihak Inggeris. Hal ini terjadi di negeri Kelantan. Pengenalan sistem
cukai baru yang di perkenalkan oleh pihak Inggeris bukan sahaja menimbulkan
rasa tidak puas hati rakyat tempatan, tetapi turut membebankan
mereka. Sistem cukai baru yang di perkenalkan oleh Inggeris merupakan suatu
yang asing kepada penduduk tempatan kerana mereka diwajibkan membayar cukai
tanah tanpa mengambil kira sama ada tanah itu di usahakan atau
sebaliknya. Mereka juga menghadapi masalah untuk membayar cukai kerana
pejabat bayaran cukai terletak jauh dan berada di daerah-daerah
tertentu. Selain itu, ketegasan dan sikap kasar pegawai yang bertugas
menimbulkan kemarahan rakyat. Mereka yang tidak membayar cukai ditangkap
atau didenda dan ada antara mereka yang dimaki hamun oleh para pegawai
berkenaan dengan kata-kata kesat. Keadaan iniakhirnya mendorong Tok
Janggut dan para pengikutnya menjalankan kempen dan usaha ini mendapat sokongan
yang menggalakkan daripada masyarakat setempat.
Penentangan lain ialah penentangan terhadap pengenalan
berbagai-bagai peraturan baru yang bercanggah dengan amalan tradisi yang
diperkenalkan oleh Inggeris. Hal ini berlaku di Terengganu. Pengenalan
peraturan baru yang diperkenalkan termasuklah penguatkuasaan beberapa jenis
cukai seperti cukai hasil, cukai tanah dan cukai binatang ternakan.
Kebangkitan pertama bermula pada tahun 1922 apabila sekumpulan masyarakat
pedalaman di Telemong yang di ketuai oleh Hj Abdul Rahman Limbong dengan
dibantu oleh Mat Zin bin Mat Min, Hj Kia dan Lebai Deraman menentang pengenalan
berbagai-bagai peraturan baru ini. Mereka bertindak membersihkan tanah dan
mengambil hasil hutan tanpa mendapatkan surat kebenaran terlebih
dahulu.Kerajaan mengambil tindakan tegas ke atas mereka dan seramai 43 orang
telah ditangkap. Mereka didakwa di mahkamah atas tuduhan membuka tanah dan
menebas hutan tanpa kebenaran. Hal ini menyebabkan orang-orang melayu
bertindak balas dengan memprotes pihak Inggeris secara intelektual. Hj
Abdul Rahman Limbong telah membela orang-orang melayu dan mereka telah
dibebaskan kerana Inggeris gagal membuktikan kesalahan dan memberi keputusan
yang muktamad.
Penentangan yang berlaku di Pahang adalah berpunca daripada perasaan tidak
puas hati para pembesar seperti Dato, Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau terhadap
pelbagai perubahan baru yang diperkenalkan oleh Inggeris yang ternyata
bercanggah dengan nilai-nilai tempatan dan menggugat kekuasaan para pembesar.
Undang-undang yang melarang pembesar mengutip cukai , mengawal hamba
abdi dan membataskan kerja-kerja kerahan dan mengadili kes-kes jenayah dan
sivil di kawasan-kawasan masing-masing dilihat sebagai mengugat kekuasaan
tradisi para pembesar. Dato’ Bahaman memulakan dan beberapa pembesar yang lain
memulakan penentangan secara kekerasan dengan melancarkan serangan ke atas
Lubuk Terua dan berjaya menawan Temerloh. Penentangan semakin hebat
apabila mendapat sokongan daripada seorang tokoh agama yang menyifatkan
perjuangan mereka sebagai perang jihad. Dato’ Bahaman dan pengikutnya
telah menyerang Kuala Tembeling setelah berjaya menawan kubu Jeram Ampai pada
bulan Jun 1894. Kebangkitan rakyat Pahang menentang penguasaan Inggeris
mengambil masa yang panjang dan berlarutan selama 4 tahun.
Penentangan yang berlaku di Sarawak pula melibatkan tentangan
daripada para pembesar tempatan seperti Rentap, Syarif Masahor
dan Datu Pattinggi Abdul Gapur. Kebangkitan Rentap didorong oleh kemaraan
Brooke ke kawasan orang Iban dan sebagai persediaan awal, Rentap telah membina
kubu pertahanan di Sungai Skrang, Kanowit , Lingga Sarikeidan
Bintulu. Pembinaan kubu-kubu ini menggangu kebebasan dan menceroboh
kawasan orang Iban. Rentap dan pengikutnya meneruskan penentangan menentang
pentadbiran Brooke. Pada tahun 1853, Rentap menyerang kubu Brooke di
Kuala Skrang dan berjaya membunuh seorang pegawai pasukan
Brooke bernama Alan Lee. Kebangkitan Syarif Masahor dan Datu Patinggi
Ali Abdul Gapur pula didorong oleh tindakan Brooke yang meluaskan kawasan
pentadbirannya dengan mengambil alih beberapa daerah di bawah kuasa
kesultanan Brunei.Sebagai penentangan, beliau telah membuat pakatan sulit
dengan Datu Patinggi Abdul Gapur untuk menyerang kubu Brooke dan mengusirnya
keluar dari Sarawak. Mereka kemudiannya membuat pakatan sulit untuk
menyerang Kuching dan menggulinkan pentadbiran Brooke.
Penentangan terakhir berlaku di Sabah yang melibatkan tentangan
para pemimpin tempatan sepeti Mat Salleh. Ianya
bermula apabila pentadbiran kompeni telah campur tangan dan memasuki wilayah di
bawah kekuasaan beliau. Antara tindakan pihak kompeni yang membangkitkan
kemarahan Mat Salleh ialah menyerang dan membakar
kampung beliau. Pada tahun 1894, para pengikut Mat Salleh membunuh 2 orang
peniaga kaum Dayak dan beliau enggan menyerahkan 4 orang pengikutnya yang
terlibat dan memberi perlindungan kepada mereka. Mat Salleh dan pengikutnya
juga melancarkan serangan ke atas Pulau Gaya dan memusnahkan bangunan
kerajaan sebagai menunjukkan penentangan mereka terhadap penguasaan kuasa
Inggeris. Perasaan tidak puas hati terhadap pentadbiran kompeni yang terus
memperkenalkan beberapa perubahan yang bercanggah dengan nilai-nilai tradisi
mendorong seorang pemimpin bernama Antanum tampil menentang pentadbiran kompeni. Antanum
menyerang Persiangan dan pejabat pegawai Daerah Rundum sebagai menunjukkan
penentangan terhadap penguasaan pihak Inggeris di negeri itu.
4.0 KESIMPULAN
Kesimpulannya, kemasukan orang Cina dan orang India telah memberikan kesan
terhadap kehidupan sosioekonomi di Tanah Melayu. Orang Cina dan India yang
datang untuk memperbaik kehidupan mereka telah tinggal secara tetap di Tanah
Melayu. Tidak dapat dinafi kan bahawa orang Cina dan orang India telah memainkan
peranan yang penting dalam pembentukan masyarakat majmuk. Mereka terlibat
secara langsung dalam kehidupan sosial dan ekonomi di Tanah Melayu. Kehidupan
secara bersama antara kaum di Tanah Melayu telah mewujudkan keharmonian kaum.
Kedatangan Inggeris ke Tanah Melayu telah menyebabkan berlakunya campur
tangan dalam hal–ehwal dan pentadbiran di negeri-negeri tersebut. Dengan
berlakunya campur tangan Inggeris, telah banyak menimbulkan ketidakpuasan
hati orang-orang Melayu terhadap struktur pentadbiran dan pelaksanaan hal-ehwal
di Tanah Melayu. Oleh yang demikian, berlaku penentangan di Tanah Melayu
untuk menentang Inggeris daripada terus berleluasa dan mengukuhkan
kuasanya. Terdapat pelbagai penentangan yang telah dilakukan oleh
masyarakat Melayu yang melibatkan perbuatan dan pemikiran masyarakat Melayu
setempat.
Walaupun British tidak menguasai seluruh negeri di Malaysia, namun pengaruh
terhadap corak pentadbiran British di negeri-negeri selat, telah menyerap masuk
ke negeri-negeri lain yang tidak dijajah, sama ada secara paksaan ataupun ianya
ditiru oleh sultan bagi memantapkan sistem pentadbiran di negeri mereka. Walau
bagaimanapun tindakan tersebut telah membuka jalan kepada British untuk campur
tangan secara langsung di negeri-negeri tersebut. Malah pada masa yang sama
hubungan baik antara British dengan Siam juga telah memudahkan British untuk
campur tangan di Kelantan, Kedah, Perlis dan Terengganu. Hal ini telah
menyababkan negeri tersebut telah dikuasai oleh British secara rasmi menjelang
abad ke-20
Güleri Habanero Hot Sauce - No Artificial Flavor
ReplyDeleteTrading Advice kirill-kondrashin · Fryo · 우리카지노 Hot Sauce